Terengganu FC ((TFC) tidak berdepan masalah besar untuk mengutip tiga mata penuh selepas menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Liga Super 2024/25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
KL City FC mempunyai rekod baik di halaman sendiri terutama empat perlawanan terakhir gagal meneruskan momentum cemerlang itu apabila malam ini mereka gagal menghalang dari pasukan pelawat membawa pulang tiga mata penting ke Pantai Timur.
Kemenangan anak buah Tomislav Steinbruckner ini juga adalah yang pertama dari empat perlawanan di tempat lawan dalam saingan Liga Super setakat ini.
Skuad bimbingan Miroslav Kuljanac dilihat sedikit bergelut dalam perlawanan itu apabila mereka dipaksa bekerja keras untuk menyerap segala asakan pasukan Terengganu.
Turun dalam perlawanan ketujuh, kedua-dua pasukan mempunyai misi penting apabila memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan lebih baik dalam liga dan mereka turun dengan menampikan corak dengan berbalas serangan.
Dalam 15 minit terakhir ketika masa kecederaan dilanjutkan atas sebab perlawanan terhenti sebelum itu akibat lampu limpah terpadam, masing-masing rancak menyerang sehingga terdapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan tetapi barisan hadapan masing-masing gagal menggunakannya.
Sebelum pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin meniup wisel penamat, skuad Penyu mengatur serangan di sebelah kanan dan hantaran lintang cantik dari Azam Azmi berjaya dimanfaatkan dengan sempurna oleh Manuel Ott untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 1-0.
Bermula babak kedua, skuad Warga Kota cuba menyusun semula rentak permainan untuk mencari gol dan mengikat kembali kedudukan.
Namun begitu, tuan rumah tersentak sekali lagi apabila ketua pasukan Terengganu, Safawi Rasid menggunakan kepakarannya melalui sepakan percuma yang cantik untuk menewaskan penjaga gol KL City, Azri Ghani pada minit ke-69 untuk selesa mendahului 2-0.
sumber:- BH
Hasrat tuan rumah untuk bangkit sekurang-kurang mendapatkan satu jaringan terlebih dahulu tidak kesampaian apabila kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.