sukan

Faisal Halim cetus impak segera berdepan Kelantan

Pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim tampil buat kali pertama apabila masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Pemain kebangsaan itu yang masuk pada minit ke-85 hampir mencetus impak segera apabila tandukannya pada minit ke-87 terkena palang ketika SFC sudahpun mendahului dengan dua gol.

Kemasukannya pada minit ke-85 jelas menggamatkan Stadium MBPJ terutamanya penyokong tidak sabar untuk menyaksikan pemain sayap lincah itu kembali beraksi selepas berehat panjang susulan disimbah asid, Mei lalu.

Pada aksi terbabit, SFC buntu untuk membuka jaringan pada babak pertama dengan Ronnie Fernandez terlepas peluang keemasan membuka jaringan meskipun betul-betul berada di hadapan gol apabila tampanannya melambung tinggi pada minit ke-43

Bersambung babak kedua, SFC meneruskan penguasaan bola dan mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 untuk memecah kebuntuan menerusi penyudah Fernandez yang menyambut tandukan Reziq Banihani.

SFC melebarkan jurang menerusi sepakan penalti disempurnakan Fernandez selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain itu dikasari pemain KDN FC pada minit ke-81.

Kemenangan 2-0 itu membolehkan skuad bimbingan Nidzam Jamil terus menghambat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketika ini mengutip 22 mata.

Dengan tambahan tiga mata hasil kemenangan ke atas pasukan tercorot liga itu, skuad ‘The Red Giants’ hanya ketinggalan enam mata di belakang skuad Harimau Selatan selepas lapan perlawanan berlangsung setakat ini.

KDN FC pula boleh dianggap terus berdepan nasib malang apabila merakam kekalahan ketujuh musim dengan hanya mampu mengutip tiga mata dalam lapan perlawanan diharungi.

sumber:- BH

Selepas ini, SFC akan terbang ke Kota Kinabalu untuk berdepan Sabah FC, Selasa ini sementara KDN FC akan menentang Kuching City FC (KCFC) di laman sendiri pada Sabtu.