sukan

Azizulhasni berdepan laluan berliku

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berdepan laluan mencabar menjelang perlumbaan pusingan pertama keirin di Sukan Olimpik Paris di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, malam ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu akan beraksi dalam saringan satu bersama pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland, Matthew Glaetzer (Australia), Ota Kaiya (Jepun), Ryan Helal (France) dan Jair Tjon En Fa (Suriname).

Hoogland dilihat berada pada tahap prestasi terbaiknya selepas membantu Belanda memenangi pingat emas acara pecut berpasukan dan menewaskan Azizulhasni ketika pusingan ketiga acara pecut inidvidu.

Dia juga adalah pemenang sembilan pingat emas di Kejohanan Dunia.Ota pula yang mencatat rekod baharu Asia dalam saingan pecut individu memenangi dua emas dalam acara pecut berpasukan dan individu ketika Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu dan juga pencabar utama dalam keirin.

Selain itu, Glaetzer juga memiliki reputasi besar dengan status selaku pemenang emas keirin dua kali Sukan Komanwel iaitu pada 2014 dan 2018.

Dia juga pernah memenangi tiga emas di Kejohanan Dunia, dua dalam acara pecut berpasukan dan satu individu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan memulakan cabaran dalam saringan lima bersama pelumba New Zealand, Sam Dakin, Mateusz Rudyk (Poland), Nicholas Paul (Trinidad and Tobago), Vasilijus Lendel (Lithuania) dan Christian Ortega (Colombia).

Hanya dua pelumba teratas layak secara automatik ke suku akhir manakala selebihnya akan beraksi dalam pusingan repechages.

Dalam pusingan repechages hanya dua teratas dalam setiap saringan akan mara.

Perlumbaan saringan pusingan pertama keirin akan bermula 11.20 malam ini manakala pusingan repechages akan berlangsung pada jam 1.20 awal pagi esok.

sumber:- BH

Suku akhir, separuh akhir dan final dijadual berlangsung esok.