sukan

Olimpik: Hadir sebagai wild card, Dhabitah tetap membanggakan Malaysia

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, menamatkan saingan di tangga ke-12 dalam saingan 3 meter papan anjal Sukan Olimpik Paris 2024 sebentar tadi.

Selepas berjaya melepasi peringkat kelayakan dan separuh akhir, Dhabitah kembali ke pentas final 3m papan anjal dalam misi memperbaiki kedudukan keempat yang diperoleh ketika edisi Tokyo 2020 tiga tahun lalu.

Dua percubaan pertama menyaksikan Dhabitah berada dalam kelompok tiga terbaik menerusi terjunan yang cemerlang.

Memasuki terjunan ketiga, atlet berusia 25 tahun itu mempamerkan penurunan ekoran kutipan mata yang rendah sekaligus terjatuh ke tangga ke-11.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu terus jatuh ke tangga ke-12 apabila sekali lagi gagal memperbaiki kualiti persembahan di terjunan keempat.

Dhabitah memperbaiki aksi terjunan kelima namun ia tidak memadai untuk mendapatkan kedudukan podium sekaligus menamatkan saingan di tempat ke-12.

sumber:- stadium astro

Pingat emas dimenangi wakil China, Chen Yiwen manakala perak menjadi milik penerjun Australia, Maddison Keeney sementara seorang lagi wakil China, Chang Yani melengkapkan podium.