ATLET mendaki dinding Indonesia, Leonardo Veddriq menyumbang pingat emas pertama negaranya di Olimpik Paris 2024 selepas mengungguli acara memanjat dinding lelaki pada Khamis.
Leonardo melakar masa terpantas 4.75 saat (s) untuk menewaskan pemenang pingat perak dari China, Wu Peng (4.77s), manakala wakil Amerika Syarikat (AS), Sam Watson meraih gangsa.
Meskipun memulakan pendakian dengan lambat, Veddriq yang merupakan bekas pemegang rekod dunia menampilkan ketenangan untuk memintas Wu Peng dalam acara yang berlangsung di Le Bourget, Paris itu.
Secara keseluruhan, Indonesia telah meraih sembilan pingat emas dalam sejarah penyertaannya di Olimpik sejak 1952 di Helsinki, Finland.
Selain Indonesia, dua lagi wakil Asia Tenggara iaitu Filipina dan Thailand turut meraih emas di Olimpik Paris 2024.
Filipina meraih dua emas menerusi gimnas lelaki sensasinya, Carlos Yulo, manakala Thailand menerusi atlet taekwando, Panipak Wongpattanakit yang mempertahankan emas dimenanginya di Olimpik Tokyo 2020.
sumber:- SH
Malaysia setakat ini meraih dua gangsa dan harapan emas kini disandarkan kepada pelumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang yang akan beraksi dalam acara kegemarannya – keirin pada Sabtu.