sukan

Jawatankuasa Tatatertib putuskan Nasib Sony Norde

Nasib ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain berusia 34 tahun itu berisiko dikenakan hukuman susulan kenyataannya yang mempertikai mutu pengadilan ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, 19 Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan maklumat berkaitan kes itu sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib.

“Pemain terbabit (Norde) sudah memberikan jawapan balas kepada FAM pada 29 Julai lalu dan kami sudah serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib. Sekarang ini, jawatankuasa berkenaan akan membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan FAM mengemukakan surat pertuduhan kepada Norde dengan pemain itu diberikan tempoh hingga 29 Julai lalu untuk memberi jawapan balas.

Norde dilaporkan meluahkan kekecewaannya mengenai mutu pengadilan Muhammad Nazmi Nasaruddin pada aksi separuh akhir pertama Piala FA yang menyaksikan KDA tewas 1-2.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah dalam laporan sebelum ini menjelaskan tindakan mengkritik pengadil secara terbuka sememangnya satu kesalahan di bawah kod disiplin FAM sekali gus pemain itu perlu bersedia untuk menanggung akibat atas tindakannya itu.

sumber:- BH

Sementara itu, peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid turut berpandangan pemain dari Haiti itu berkemungkinan boleh dikenakan denda atau penggantungan selepas kenyataan dikeluarkan itu dilihat melanggar Artikel 61.