sukan

Aaron-Wooi Yik tidak tunggu lama selepas menang gangsa olimpik

USAI kempen Olimpik Paris 2024 yang menyaksikan kejayaan meraih gangsa, beregu lelaki utama negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik hanya akan berehat seketika.

Beregu nombor tiga dunia itu merancang untuk meluangkan masa beberapa hari bersama keluarga sebelum kembali berlatih bagi menghadapi Terbuka Jepun pada 20-25 Ogos ini diikuti Terbuka Korea (27 Ogos-1 Sept).

“Saya rasa cuti beberapa hari dan kami akan berangkat untuk Terbuka Jepun dan mungkin Terbuka Korea. Jadi tiada banyak masa untuk berehat (sebelum) kembali bekerja.

“Seronok rasanya pulang ke Malaysia, satu lagi rangsangan untuk kami pergi lebih jauh,” kata Aaron ketika ditemui media setibanya mereka dari Paris pada Rabu.

Turut tiba di tanah air hari ini pemenang gangsa perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; pemain beregu wanita, Pearly Tan dan M Thinaah dan pemain beregu campuran, Chen Tang Jie, bersama pasukan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik menyumbang pingat pertama buat Malaysia di Paris 2024 apabila mereka bangkit daripada kedudukan hampir kalah untuk menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam aksi penentuan gangsa.

Wooi Yik menyifatkan perjalanan mereka untuk merangkul gangsa kali ini lebih mencabar berbanding ketika Olimpik Tokyo 2020.

“Berbeza dengan Tokyo tiada penyokong dan sekarang (ketika di Paris) bila masuk stadium rasa gementar dan tekanan di dalam (pertandingan) Olimpik. Ia situasi yang berbeza.

sumber:- SH

“Saya dan Aaron gembira dapat atasi situasi di sana. Mungkin (kami) tak dapat sumbang emas tapi puas bagi pingat untuk Malaysia,” katanya. – Bernama