Kuala Lumpur (KL) United FC Sdn Bhd akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keputusan siasatan First Instance Body (FIB) terhadap dokumen KL City dalam mendapatkan lesen kebangsaan.
FIB dalam kenyataan, semalam mengumumkan enam bentuk hukuman terhadap KL City atas deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab sebelum ini.
Pengarah KL United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM kerana tindakan yang dilakukan dalam mendapatkan lesen itu menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, laporan berkenaan akan dibuat terhadap pegawai pentadbiran KL City FC dan FIB yang disifatkan gagal menangani dari awal termasuk memberi lesen kebangsaan kepada skuad The City Boys.
“Kita akan membuat laporan agar perkara ini disiasat dengan telus dan baik. FIB perlu bertanggungjawab kerana mereka adalah pihak yang memberi lesen.
“Mereka sepatutnya menyemak terlebih dulu dengan lebih teliti, tetapi sebaliknya percaya bulat-bulat dengan dokumen diserahkan.
“Sepatutnya FIB semak betul-betul dokumen yang diberi. Kita tak tahu mungkin wujud salah laku lain, hingga dokumen itu mudah diluluskan.
“Bukan saya mahu menuduh, tetapi ia perkara yang boleh berlaku dan kita mahukan siasatan dilakukan,” katanya kepada BH Sukan.
Sebelum ini, Syed Yazid dilaporkan berkata bahawa KL City tidak melunaskan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Februari 2023 membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM719,000.
Susulan daripada itu, FIB melakukan siasatan secara menyeluruh bermula dengan semakan melalui sistem AFC CLAS bagi mengesahkan segala deklarasi tunggakan yang menyatakan bahawa tiada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun 2023 untuk Lesen Kebangsaan dan 31 Disember 2023 untuk Lesen AFC dengan lampiran surat sokongan daripada agensi kerajaan sebelum penilaian bagi keputusan berkenaan pemberian lesen.
Jawatankuasa First Instance Body (FIB) mengenakan tiga hukuman berdasarkan lesen kebangsaan dan tiga lagi berdasarkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Bagi hukuman berdasarkan lesen kebangsaan, KL City dikenakan pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
Sementara itu, berdasarkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula, skuad City Boys dikenakan hukuman tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua kitaran pelesenan kelab MFL (kitaran 2024-2025 dan 2025-2026), denda RM50,000 dan lesen AFC bagi pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim AFC 2024-2025 dibatalkan.
Selain itu, Syed Yazid menyifatkan denda pemotongan enam mata sebagai tidak adil kerana pemain dan barisan kejurulatihan tidak bersalah dalam kemelut itu.
“Bila mereka umum nak potong mata, pemain KL City kecewa kerana kemenangan mereka dalam liga (Liga Super) akan dipotong. Tiga mata itu adalah hasil titik peluh pemain yang berusaha biarpun tak ada gaji.
“Tapi FIB main suka-suka nak potong. Kalau mereka nak potong, KL City tidak teragak-agak menarik diri daripada bertanding lagi.
sumber:- BH
“Kami akan bayar tunggakan gaji pemain, tetapi tak akan bermain sebagai tanda protes terhadap pemotongan mata itu yang sebenarnya tidak adil buat pemain. Orang lain buat hal, pemain pula jadi mangsa,” katanya