Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan perlawanan menentang Selangor FC (SFC) pada final Piala FA sebagai final epik dan impian yang sememangnya dinantikan peminat bola sepak musim ini.
Justeru pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan, barisan pemain skuad Harimau Selatan perlu berkerja keras menjelang aksi final itu selain mengekalkan fokus untuk memburu kejuaraan kali ketiga berturut-turut selepas memenangi Piala FA pada musim 2022 dan 2023,
“Ya, kita akui aksi final kali ini adalah ‘dream final’, tetapi semuanya akan ditentukan dalam tempoh 90 minit apabila kita perlu kekal fokus selain perlu memperbaiki mutu permainan kita.
“Lagipun, beraksi di pentas final sememangnya sukar kerana dalam masa sama kita perlu meningkatkan prestasi serta kualiti yang kita ada.
“Bagaimanapun, daripada pemerhatian saya, semua pemain dilihat bekerja keras selain cuba untuk kekal fokus dan secara keseluruhannya, kita telah bersedia untuk beraksi di final nanti,” katanya.
Bidoglio berkata demikian pada sidang akhbar sejurus tamat aksi separuh akhir kedua Piala FA berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Skuad Harimau Selatan menang 3-0 menerusi jaringan pada babak kedua oleh Feroz Baharuddin pada minit ke-50 disusuli jaringan Bergson da Silva pada minit ke-77 dan jaringan Juan Muniz pada minit ke-84 , sekali gus mara ke final dengan agregat 5-1 hasil kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darulaman, 19 Julai lalu.
Untuk rekod, aksi antara JDT dan Selangor FC di final nanti pastinya ditunggu-tunggu peminat sukan bola sepak tanah air susulan kedua-dua pasukan tidak beraksi pada Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.
sumber:- HM
Pengulas aksi berdepan KDA FC, Bidoglio berkata, ia ternyata satu perlawanan lebih sukar berbanding aksi separuh akhir pertama di Alor Setar, 19 Julai lalu apabila barisan pemainnya tampak sukar menembusi benteng pasukan pelawat pada babak pertama.