Kuala Lumpur (KL) City FC dikenakan enam bentuk hukuman atas deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab sebelum ini.
Jawatankuasa First Instance Body (FIB), hari ini mengumumkan tiga hukuman dikenakan berdasarkan lesen kebangsaan dan tiga lagi berdasarkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Bagi hukuman berdasarkan lesen kebangsaan, KL City dikenakan pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
“Merujuk kepada sub-kriteria F.04, tunggakan agensi kerajaan setakat 31 Disember 2023 perlu diselesaikan sebelum 30 September 2024.
“Sekiranya pihak KL City FC gagal menyelesaikan tunggakan secara bayaran penuh pada tarikh akhir yang ditetapkan oleh pihak FIB, kegagalan ini akan dibawa ke pihak FIB dengan merujuk kepada artikel 2.4 “Licensing Sanctions” untuk tindakan dan hukuman selanjutnya,” kata FIB dalam kenyataan.
Sementara itu, berdasarkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula, skuad City Boys dikenakan hukuman tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua kitaran pelesenan kelab MFL (kitaran 2024-2025 dan 2025-2026), denda RM50,000 dan lesen AFC bagi pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim AFC 2024-2025 dibatalkan.
Sebelum ini, Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar dilaporkan berkata bahawa KL City tidak melunaskan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Februari 2023 membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM719,000.
Susulan daripada itu, FIB melakukan siasatan secara menyeluruh bermula dengan semakan melalui sistem AFC CLAS bagi mengesahkan segala deklarasi tunggakan yang menyatakan bahawa tiada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun 2023 untuk Lesen Kebangsaan dan 31 Disember 2023 untuk Lesen AFC dengan lampiran surat sokongan daripada agensi kerajaan sebelum penilaian bagi keputusan berkenaan pemberian lesen.
FIB seterusnya memulakan proses audit dan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi kelab dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang berlangsung di pejabat KL City FC pada 26 Julai lalu.
Hasil semakan FIB mendapati bahawa dokumen yang diserahkan KL City FC berkenaan caruman KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengandungi maklumat tidak tepat atau tidak benar berdasarkan pengesahan daripada agensi kerajaan melalui e-mel kepada FIB yang mana agensi berkenaan tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang diserahkan kelab itu kepada FIB sebelum ini.
“Maklumat ini jelas bercanggah dengan dokumentasi yang diserahkan kepada FIB sebelum tarikh akhir penyerahan dokumen kriteria kewangan pada 31 Ogos 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Mac 2024 untuk lesen AFC.
“Berdasarkan insiden sedemikian, perlu dinyatakan bahawa kelab bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penyerahan dokumentasi serta integriti keseluruhan dokumentasi yang diserahkan kepada FIB.
sumber:- BH
“FIB berharap kesemua kelab Liga Super dapat mengambil iktibar daripada isu ini supaya tidak mengambil mudah berkaitan maklumat deklarasi yang diserahkan kepada FIB kerana badan bebas itu boleh melakukan semakan semula dan menarik lesen kebangsaan atau lesen AFC sekiranya didapati bersalah dengan merujuk kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL,” kata FIB.