Penyerang Selangor, Faisal Halim berkongsi detik menyentuh hati ketika bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon datang melawatnya di hospital.
Sebelum ini, Faisal menjalani rawatan di sebuah hospital di Shah Alam selama tiga minggu susulan mengalami luka melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan selepas menjadi mangsa simbah asid, awal Mei lalu.
Insiden malang menimpa Faisal mendapat perhatian di Malaysia serta komuniti bola sepak luar negara dan Pan Gon sempat melawat pemain kebangsaan berusia 26 tahun itu di hospital.
Bekongsi cerita detik Pan Gon hadir ke hospital, Faisal mendedahkan pengendali dari Korea Selatan itu menangis dan sebak tanpa bercakap ketika duduk di sebelahnya.
Justeru, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengakui sedih apabila mendapat berita Pan Gon meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 16 Julai lalu.
“Sudah tentu saya sebagai pemain berasa sedih sebab saya pernah bekerja dengan Pan Gon. Saya tahu keikhlasan, karakter dia, apa yang dia nak dan dia sudah banyak mengubah karakter pemain serta pasukan kebangsaan kita.
“Ketika di hospital dia datang melawat saya, dia masuk pintu hospital bilik saya dan dia tak bercakap, dia menangis, dia sebak, hampir lima minit dia duduk sebelah saya tak bercakap apa-apa.
“Itu antara detik yang saya tersentuh dengan seorang jurulatih walaupun bukan bangsa kita dan bukan rakyat kita, tapi dia ikhlas dengan tanggungjawab dia,” kata ketika temubual bersama Selangor FC.
Selain itu, Faisal berkata bahawa dia turut menghantar mesej kepada Pan Gon selepas mengetahui jurulatih berusia 55 tahun itu akan meninggalkan Harimau Malaya.
Katanya, dia akan pegang kata-kata semangat yang diberikan Pan Gon sebelum ini dan cuba bangkit untuk menjadi seorang pemain yang luar biasa.
“Memang sedih dan apabila saya dapat tahu dia nak tinggalkan Malaysia, saya mesej dia: ‘Hari itu coach (jurulatih) cakap dekat saya jangan putus asa, kembali beraksi untuk Selangor dan pasukan kebangsaan, saya akan tunggu awak’, itu dia kata kepada saya.
“Saya pun ulang balik ayat yang dia cakap dekat saya dan dia cakap kita tak tahu ke depan apa yang berlaku, kita cuba buat yang terbaik. Dia kata awak akan jadi yang lebih baik di masa depan kalau awak bangkit.
“Saya pegang kata-kata itu, saya nak buktikan dekat Malaysia yang saya tak boleh dijatuhkan dengan apa-apa dan doa rakyat Malaysia di belakang saya,” katanya.
Selepas hampir tiga bulan, Faisal akhirnya tampil buat kali pertama bersama skuad Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila dia disenaraikan dalam pemain simpanan ketika menentang Terengganu FC (TFC), kelmarin.
sumber:- BH
Meskipun tidak beraksi pada pertembungan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, namun Mickey tampak membawa aura tersendiri apabila mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong dan Selangor meraih kemenangan 4-1 untuk mara ke final dengan agregat 6-4.