sukan

Azizulhasni harapan emas Malaysia

Tumpuan Malaysia kini terarah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam misi merealisasikan impian memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dengan reputasi selaku pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin, pelumba berusia 36 tahun itu yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ menjadi taruhan terbaik kontinjen negara bagi menjelmakan kilauan emas.

Ini selepas skuad badminton yang turut diletakkan sandaran sebelum ini tidak lagi berpeluang memenanginya.

Selain Azizulhasni, cabaran skuad berbasikal trek negara turut akan digalas Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan memulakan cabaran di Velodrom Saint Quentin en Yvelines Velodromem, Rabu ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley, berkata Azizulhasni yang akan membuat penampilan kelima di pentas Olimpik sudah biasa menggalas tanggungjawab besar untuk negara.

“Azizul menangani tekanan dengan sangat baik. Adakah dia merasainya? Sudah tentu dia merasainya, dia merasakan seperti memikul beban Malaysia di bahunya.

“Tetapi itu kerana dia seorang juara, dia mahu menang untuk Malaysia dan untuk dirinya sendiri, dia suka untuk bersaing.

“Tekanan bagaimanapun, adalah perkara yang baik. Ia bermakna anda diletakkan sebagai pencabar.

“Ia lebih kepada bagaimana anda menangani tekanan itu dan dia (Azizulhasni) menanganinya dengan baik dengan mengetahui bahawa dia sudah melakukan segala-galanya untuk bersaing dan hanya fokus dalam setiap perlumbaan.

“Jika dia kalah, dia akan kecewa biarpun dia memproses perkara itu dengan cepat. Dia menilai dan melihatnya semula dan kemudian bergerak ke hadapan. Itulah yang dilakukan oleh juara.

“Dia sudah menjadi seorang atlet yang luar biasa selama 17 tahun yang lalu. Saya tahu rakyat Malaysia bangga dengannya,” kata Beasley kepada BH Sukan.

Skuad berbasikal trek negara sebelum ini menghabiskan masa selama dua bulan menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Belgium dan Sepanyol sebagai persiapan mengadapi temasya di Paris.

sumber:- BH

Ketiga-tiga pelumba negara tiba di perkampungan sukan di Paris, Khamis lalu.