Sekalipun berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 16-20 pada set kedua selepas tumbang 16-21 pada set pertama di tangan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen namun beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik jelas sekali tidak ‘goyang’
Wooi Yik menegaskan perkataan kalah tidak pernah terlintas dalam fikirannya walaupun hanya satu mata menjadi pemisah buat mereka sama ada dapat mengekalkan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo ataupun pulang tangan kosong pada edisi di Paris kali ini.
“Saya rasa tidak (berfikir mengenai kekalahan) dan saya bagitahu pada Aaron bahawa ini mata terakhir dan kita harus berikan yang terbaik dan jangan lakukan kesilapan.
“Kami kekal positif dan saya rasa ia bagaikan satu keajaiban apabila kami berjaya menjadikan kedudukan 20-20 dan dari situ, kami percaya kami boleh memenangi set kedua,” kata Wooi Yik menerusi temubual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada set kedua di Porte de La Chapelle Arena itu, pasangan negara ketinggalan 16-20 namun mencetus kebangkitan menakjubkan apabila mengutip enam mata berturut-turut untuk memenangi set kedua 22-20 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga berlangsung dengan sengit khususnya di penghujung permainan apabila pasangan negara membenarkan gandingan Denmark itu mengejar sehingga 19-19 namun Aaron-Wooi Yik kekal tenang untuk meraih pingat gangsa dengan keputusan 21-19.
Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod kepada lapan kemenangan ke atas gandingan Denmark itu dalam 12 pertemuan secara keseluruhan.
“Saya rasa ini adalah kebangkitan terhebat kami di kejohanan besar. Ini kali pertama jika hendak dibandingkan dengan Kejuaraan Dunia sebelum ini,” kata Aaron.
sumber:- BH
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.