“Saya garang dengan budak (pelatih) ketika di dalam padang saja. Tapi di luar padang, wataknya lain.
“Itu memang karakter saya waktu mengajar tapi hakikatnya, saya sayang budak cuma tegas malah dengan anak sendiri pun begitu (tegas),” kata Mohd Izwan Othman, 38.
Jurulatih itu menjelaskan kisah di sebalik video tular yang mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman kerana didakwa bersikap terlalu agresif ketika mengajar pelatih mengikuti latihan sebagai penjaga gol dengannya.
Mohd Izwan dari Mio Army Goalkeeper Trainer (MAGKT) mengakui terkejut apabila dua videonya mengajar pelatih mendapat perhatian di media sosial dan apa dipaparkan bukan perkongsian penuh sebaliknya sebahagian daripada rakaman asal.
“Apa yang tular itu sebenarnya adalah video pendek. Saya sudah buat penerangan dalam bentuk video bagi memberi gambaran mengenai apa yang berlaku.
“Sebenarnya, pelatih berkenaan takut untuk menampan bola, melakukan dengan cara yang salah dan boleh mendatangkan bahaya.
“Menjadi tanggungjawab saya sebagai jurulatih untuk perbetulkan kesilapan supaya pelatih tidak mengulanginya.
“Saya jenis suka menyakat dan guna kaedah psikologi untuk pelatih itu buang rasa takut serta malu kerana mereka benteng terakhir dalam satu-satu permainan atau kejohanan bola sepak.
“Kalau tak kuat terutama daripada segi mental bagaimana?,” soalnya ketika dihubungi Harian Metro.Mohd Izwan yang berasal dari Merbok, Kedah berkata, sehingga kini dia masih menerima kecaman susulan tularnya video berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Izwan enggan mengubah pendekatan digunakan kerana selesa mengajar dengan cara begitu dan tidak boleh menjadi orang lain.
“Saya ada baca komen, macam-macam orang maki dan ada yang hentam sampai komen dengan mengatakan nak pijak saya.
“Tapi kata-kata itu langsung tak melunturkan semangat saya sebaliknya dengan izin Allah SWT, semakin ramai pelatih datang mendaftar untuk mengikuti latihan di bawah kendalian saya selepas video itu tular.
“Ada ibu bapa sanggup bawa anak mereka datang dari Johor Bahru, Johor; Melaka; Seremban, Negeri Sembilan; Pahang dan Kedah serta sekitar Lembah Klang untuk mengikuti sesi latihan dengan saya di Klang, Selangor.
“Nampak impak ‘kuasa’ tular di situ kerana pada awalnya saya cuma ada tiga orang pelatih saja iaitu Muhammad Khairul Fathullah Mohamad Fared, 9, (Akademi Tunas Petaling Perdana), Muhammad Khairul Farhan Mohamad Fared,13, (Pusat Latihan Daerah Petaling Perdana) dan Muhammad Nasrul Nazam, 11.
“Kini, saya sudah ada 140 pelatih termasuk Syuqri Sahdan Abdullah (12 tahun) yang terpilih ke Kejohanan Terbuka Guangzhou, China dan Muhammad A’qil Farhan Muhammad Alif (12 tahun) sudah menjadi pemain Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Pelatih yang mengikuti latihan di bawah bimbingan saya berusia antara enam hingga 17 tahun.
“Setakat ini, enam daripada pelatih saya adalah perempuan namun mereka juga dapat layanan sama dengan pelatih lelaki ketika di padang,” katanya yang pernah tiga kali memenangi anugerah penjaga gol lelaki terbaik di Liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2008, 2012 dan 2016.
Menurut Mohd Izwan, pendekatannya digunakan ketika mengajar diterima baik pelatih juga ibu bapa mereka.
“Niat saya ajar dengan cara begitu kerana nak terapkan disiplin, latih mereka hadap tekanan dan tunjukkan betapa pentingnya fokus ketika belajar kerana apabila jadi penjaga gol sebenar nanti, orang hanya ingat kesilapan dibuat bukan bola pernah diselamatkan.
“Disebabkan itu, saya sentiasa pesan kepada pelatih untuk fokus dan haramkan mereka tengok luar sehingga selesai latihan.
“Syukur cara saya diterima pelatih dan ibu bapa walaupun anak mereka sampai muntah, menangis serta jadi lembik ‘dikerjakan’ ketika awal sesi latihan.
sumber:- HM
“Sebagai jurulatih, saya tak letak sasaran tinggi atau harapkan apa-apa kerana tugas saya berkongsi ilmu. Saya juga tak halang pelatih nak ke mana pun selepas belajar dengan saya kerana MAGKT ibarat pusat tuisyen buat pelatih,” katanya.