Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menegaskan perjuangannya di Sukan Olimpik Paris 2024 masih belum selesai biarpun terkandas di separuh akhir, hari ini.
Terdahulu, impian pemain nombor tujuh dunia itu untuk memenangi pingat emas lebur apabila tewas di tangan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 14-21, 15-21 pada aksi di Porte de la Chapelle Arena.
Di sebalik kekalahan itu, Zii Jia, berkata ia bukanlah pengakhiran dalam perjuangannya di Olimpik Paris apabila dia masih ada satu lagi perlawanan untuk penentuan gangsa, esok.
Dia akan bertemu pemain India, Lakshya Sen yang tewas di tangan jaguh Denmark, Viktor Axelsen 20-22, 14-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
“Sudah tentu saya kecewa kerana terlepas peluang untuk berada di final bagi penentuan emas dan perak.
“Tetapi saya masih ada satu lagi perlawanan esok (penentuan gangsa). Saya akan anggap ia seperti aksi final dan terus kekal fokus,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Mengulas mengenai aksi menentang Kunlavut, Zii Jia mengakui lawannya itu bermain dan mengawal tekanan dengan baik sepanjang perlawanan.
“Saya sudah cuba untuk mengeluarkan semua yang saya ada termasuk dari segi strategi permainanan tetapi ia tidak menjadi.
“Apa yang saya lihat, keyakinannya (Kunlavut) cukup tinggi dan berada pada tahap prestasi terbaiknya. Saya percaya dia ada peluang cerah untuk memenangi emas,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam final acara perseorangan lelaki adalah pada edisi 2016 menerusi Datuk Lee Chong Wei.
sumber:- BH
Ketika itu, Chong Wei berpuas hati dengan pingat perak selepas tunduk di tangan pemain China, Chen Long.