sukan

Kehilangan Ratu pecut Jamaica akhirnya terjawab

Tertinggal bas menyaksikan pelari pecut wanita Jamaica yang juga pemenang dua kali acara 100 meter (m) Olimpik, Shelly-Ann Fraser-Pryce dikatakan punca utama mengapa dia tidak kelihatan ketika saingan separuh akhir.

Shelly-Ann, 37, berdepan kontroversi berikutan dihalang daripada memanaskan badan di tempat yang diperuntukkan atas peraturan setiap peserta perlu menaiki bas pasukan.

Biarpun selepas itu penganjur mengumumkan penarikan diri Shelly-Ann akibat masalah hamstring, namun video yang sempat dirakam oleh individu tidak dikenali yang dimuat naik di sosial media menyaksikan dia dihalang masuk ke venue pertandingan di depan pintu pagar.

Susulan itu, Shelly-Ann meluahkan rasa kecewa tidak dapat membawa cabaran Jamaica dan memohon maaf kepada peminatnya.”Agak sukar untuk saya menggambarkan kekecewaan yang saya rasai ketika ini. Saya tahu bahawa peminat sentiasa meletakkan harapan kepada saya.

“Saya benar-benar bertuah kerana mendapat sokongan padu peminat sejak penampilan sulung saya di Olimpik pada 2008.”Sokongan dari peminat, sokongan dari negara saya dan komuniti yang lebih besar membuatkan saya mahu berterima kasih yang tidak terhingga sepanjang perjalanan karier saya.

“Dengan setiap langkah dan kemenangan, anda semua telah berada di sana untuk saya. Terima kasih kerana terus bersama saya hari ini dan setiap hari,” katanya.

Dalam acara final 100m wanita, pelari pecut dari Saint Lucia, Julien Alfred muncul memenangi emas sekali gus melakar sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama negaranya di temasya itu.

sumber:- HM

Pelari 23 tahun itu membuat kejutan di Stade de France apabila menewaskan juara dunia dari Amerika Syarikat (AS), Sha’Carri Richardson dengan catatan 10.72 saat.