Ini versi Lee Zii Jia yang baharu!
Itu pandangan disuarakan legenda badminton kebangsaan, Datuk Rashid Sidek ketika merumuskan prestasi pemain nombor tujuh dunia itu dalam perjalanannya ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Rashid yang memenangi pingat gangsa perseorangan lelaki di Olimpik Atlanta 1996, berkata Zii Jia tampil dengan perwatakan yang lebih matang sekali gus membolehkan dia beraksi lebih tenang.
Katanya, ia menjadi kunci utama terhadap pencapaian diraih pemain perseorangan lelaki negara itu setakat ini.”Setakat ini, permainan Zii Jia memang cukup positif, dia tidak perlu pun buat provokasi yang tidak perlu. Orang memang tahu dia bagus.
“Dia nampak tenang dan lebih matang sekali gus membuatkan dia tidak tertekan. Saya harap dia boleh kekalkan momentum ini,” kata Rashid kepada BH Sukan.
Zii Jia menjadi harapan terakhir kem badminton negara untuk meraih pingat emas di Paris selepas berjaya melangkah ke separuh akhir.
Dia menumbangkan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 pada suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia menempah pertemuan menentang juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn bagi perebutan tempat ke perlawanan penentuan pingat emas, esok.
Mengulas aksi bertemu Kunlavut, Rashid berkata peluang adalah 50-50 antara kedua-dua pemain.
“Perlawanan ini terbuka untuk kedua-dua pemain. Apa yang paling penting, Zii Jia kena tahu kekuatan dan kelemahan dia.
“Dia kena elak pemain lawan menyerang kelemahannya. Kelebihan atau kekuatan Zii Jia adalah permainan menyerang, jadi dia boleh gunakan itu.
sumber:- BH
“Namun, pada masa sama dia juga perlu mempelbagaikan corak permainan sekiranya permainan menyerang tidak menjadi,” kata Rashid.