sukan

Carini mahu minta maaf

Petinju wanita Algeria, Imane Khelif mencetus kontroversi di Olimpik Paris apabila jantinanya sekali lagi menimbulkan persoalan.

Dia dibatalkan penyertaan di Kejohanan Dunia tahun lalu oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) kerana dilaporkan mempunyai kromosom XY.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menarik semula pengiktirafan terhadap IBA tahun lalu, menguruskan sendiri pertandingan tinju di Paris 2024 dan membenarkan Khelif dan seorang lagi petinju kontroversi, Lin Yu-Ting dari Taiwan yang mengalami situasi sama.

Khelif dilahirkan sebagai seorang wanita seperti dinyatakan dalam pasportnya, sekali gus menjadi faktor utama IOC membenarkannya untuk bertanding dalam kategori wanita.

Khelif menyertai kejohanan tinju sepanjang enam tahun lalu, termasuk di Olimpik Tokyo.

Di Olimpik Paris, pertembungannya dengan petinju Itali, Angela Carini menyaksikan lawannya menarik diri selepas 46 saat akibat dibelasah teruk.

Carini juga enggan bersalam dengan Khelif selepas memutuskan untuk tidak meneruskan pertarungan.

Namun Carini dalam kenyataan terbarunya mahu memohon maaf kepada Khelif di atas tindakannya.

Carini dan lawan Khelif seterusnya, Lajos Berko dari Hungary juga berkata, mereka akan melupakan kontroversi jantina itu dan menerima petinju Algeria itu sebagai pesaing.

“Semua kontroversi ini membuatkan saya sedih. Saya juga simpati terhadap lawan saya. Jika IOC kata dia boleh bersaing, saya menghormati keputusan itu.

“Ia (menarik diri) bukan sesuatu yang saya rancang. Saya ingin memohon maaf kepadanya (Khelif) dan semua orang. Saya marah ketika itu kerana impian Olimpik saya berkecai,” kata Carini.

Khelif dilahirkan pada tahun 1999 di Algeria. Pada awalnya, bapa Khelif tidak bersetuju dengan pembabitan wanita dalam sukan tinju.

Khelif berkata ketika remaja, dia tidak meneruskan minatnya dalam bola sepak kerana mahu mencuba sukan tinju.

Dia mula mewakili Algeria di kejohanan besar pada tahun 2018 dan tewas dalam lima daripada enam perlawanan pertamanya.

Khelif adalah salah seorang daripada tiga wanita Algeria pertama bersaing di Olimpik Tokyo tiga tahun lalu.

Dia menang pertarungan pertama tetapi tewas selepas itu di tangan petinju Ireland, Kellie Harrington yang kemudian memenangi emas.

sumber:- BH

Khelif juga pernah tewas kepada sembilan petinju wanita lain sepanjang kariernya setakat ini. – AGENSI