sukan

Azeem tamatkan aksi 100m dengan catatan 10.45s

Impian untuk menyaksikan pelari pecut, Muhammad Azeem Fahmi menjadi atlet Malaysia pertama mara ke separuh akhir acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik tidak kesampaian.

Atlet berusia 20 tahun itu terpaksa akur apabila menamatkan saingan di tempat tercorot daripada sembilan pelari pada aksi Saringan 2, pusingan pertama Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Dia yang berlari di lorong kelapan sekadar mencatat 10.45 saat (s).

Aksi Saringan 2 diungguli pelari pecut Kenya, Ferdinand Omanyala yang mencatat 10.08s diikuti atlet Itali, Chituru Ali kedua dengan catatan 10.12s.

Pelari Jerman, Joshua Hartmann pula menduduki tempat ketiga dengan catatan 10.16s.

Hanya tiga pelari terpantas dalam setiap saringan layak ke separuh akhir.Terdahulu, Azeem mengesahkan tiket ke pusingan pertama selepas menduduki tempat kedua dalam Saringan 1, pusingan kelayakan dengan catatan 10.42s.

Catatan direkodkan pada penampilan pertamanya di Olimpik kali ini juga jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan dimilikinya 10.09s ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Azeem beraksi di Olimpik Paris kali ini atas tiket ‘wild card’ selepas gagal melayakkan diri secara merit.