Dalam usaha menamatkan penantian pingat emas negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024, seorang pakar jantung diterbangkan khas bagi membantu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Institut Sukan Negara (ISN) mengambil inisiatif tambahan dengan membawa pakar jantung dari Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, untuk berada bersama pasukan perubatan ISN di P0aris.
Ia bertujuan untuk memastikan tahap kesihatan Azizulhasni, yang sebelum ini mengalami masalah jantung AAORCA, dapat dijaga dan dipantau dengan rapi.
Dr Jeffrey akan bersama skuad negara sebelum acara berbasikal trek membuka tirai di Velodrom de Saint Quentin En Yvelines pada 7 Ogos ini.
Dia merupakan antara pasukan perubatan bersama pakar perunding bedah kardiotorasik Australia, Dr Aubrey Almeid, yang bertangungjawab memulihkan dan mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah jantung Azizulhasni sebelum ini.
Azizulhasni, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, berkata: “Saya gembira dan berterima kasih kepada Tan Sri Norza (Zakaria, Presiden) MOM (Majlis Olimpik Malaysia), ISN, MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
“Sedikit sebanyak, ia memberikan rasa lega kerana baru sahaja dua tahun lalu saya menjalani pembedahan jantung. Ia bukan pembedahan kecil.
“Sewaktu tahun pertama, pakar bedah dan pakar jantung saya agak gusar untuk saya masih bersaing dan bertanding dalam satu lagi Sukan Olimpik.
“Tetapi selepas beberapa kali melakukan ujian dan melalui beberapa kejohanan, tiada sebarang isu serius kecuali beberapa isu kecil. Alhamdulillah, sekarang semuanya baik.
sumber:- stadium astro
“Sedikit sebanyak, kehadiran Dr Jes dari IJN ini akan membuatkan saya rasa lebih selamat sekiranya ada apa-apa berlaku.
“Saya datang ke sini bukan hanya sebagai peserta, saya mahu memenangi pingat emas untuk rakyat Malaysia,” katanya.