Ia bukanlah keputusan yang dimahukan oleh gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik namun mereka terpaksa akur gagal merealisasikan impian membawa pulang emas apabila gagal mara ke final Sukan Olimpik Paris 2024.
Biarpun akan turun dalam penentuan pingat gangsa Ahad ini, pingat itu tetap berharga bagi mereka dan juga negara di pentas Olimpik ini.
“Ini bukan apa yang kami mahukan. Ada satu lagi perlawanan penentuan gangsa. Kami perlu fokus untuk bawa pulang pingat itu.”Harap kami akan dapat bawa pulang pingat bukan untuk diri sendiri saja tapi untuk negara. Satu pingat (gangsa) ia tetap berharga,” kata Aaron.
Pada aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Aaron-Wooi Yik tewas dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-15, 17-21 dalam tempoh 72 minit kepada beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Tidak mahu menoleh ke belakang, Aaron-Wooi Yik menegaskan mereka mereka perlu terus kekal fokus untuk berada di landasan terbaik.
“Ia satu perlawanan yang sengit. Kami sudah beri yang terbaik untuk lawan mereka hari ini.
“Di waktu genting, kami tak dapat kawal keadaan mungkin kerana cepat mahu dapatkan mata tapi inilah kenyataan dan mungkin hari ini mereka lebih baik,” kata Wooi Yik.
Bagi Wooi Yik, dia tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri dan pengalaman tiga tahun lalu beraksi di pentas penentuan pingat gangsa diharapkan dapat membantu mereka apabila turun berdepan lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Saya tak nak beri tekanan kepada diri sendiri. Kami hanya mahu menikmati permainan dan walau apapun keputusannya nanti, kami akan berikan yang terbaik,” kata Wooi Yik.
Kekalahan menyaksikan pasangan China itu terus melebarkan rekod pertemuan kepada lapan kemenangan berbalas dua, ia termasuk dua kemenangan yang diraih di Paris 2024.
sumber:- HM
Kali terakhir gandingan negara mara ke final pentas Olimpik adalah menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016 yang menyaksikan mereka membawa pulang perak.