Selepas dilihat agak selesa dalam skuad utama, kini penjaga gol nombor satu Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi dijangka menerima tentangan sengit daripada pemain baharu dari Sepanyol, Christian Abad Amat.
Menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini, Harimau Selatan terus agresif mendapatkan pemain terbaik dan terbaharu menandatangani penjaga gol muda dari Sepanyol itu bagi menguatkan lagi pasukan untuk persaingan Liga Malaysia (liga M) dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Pada usia 18 tahun dan mempunyai pengalaman beraksi di kancah liga Sepanyol, sudah pasti itu akan aset yang cukup baik untuknya dalam usaha mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dan memastikan kubu JDT terus ampuh.
Dari sudut positif, Syihan yang juga penjaga gol utama Harimau Malaya sudah pasti perlu bekerja lebih keras dan meningkatkan lebih usaha memikat hati pengendali JDT, Hector Bidoglio.
Perkara itu secara tidak langsung memerlukan Syihan lebih bersedia berbanding sebelum ini berikutan kedudukannya lebih selamat tanpa pencabar.
Situasi itu bakal memberi kebaikan kepada skuad kebangsaan dalam memastikan penjaga gol kelahiran Kelantan itu sentiasa berada di tahap terbaik dan boleh memberi aksi cemerlang apabila menyarung jersi Malaysia.
Sebelum berpindah ke Malaysia, Amat beraksi bersama Elche CF selain pernah bersama skuad muda Valencia dan CD Alcoyano.
Sepanjang beraksi dengan skuad muda Elche CF, dia diberikan kepercayaan beraksi dalam 22 daripada 29 perlawanan pada musim 2023.
sumber:- HM
Sebelum ini, Harimau Selatan sudah mengumumkan dua pemain baharu iaitu Park Jun-heong (pertahanan) dan penyerang, Enzo Lombardo.