Bekas pemain beregu kebangsaan, Chan Peng Soon percaya gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berpotensi untuk menewaskan sesiapa saja jika berada pada tahap prestasi terbaik mereka.
Peng Soon berkata pasangan nombor sembilan dunia itu sudah pun membuktikannya ketika mereka mengejutkan beregu nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi terakhir Kumpulan D di Sukan Olimpik Paris, semalam.
Justeru, katanya tiada yang mustahil buat gandingan yang digelar ‘Gangster Duo’ oleh peminat badminton tempatan itu mengulangi skrip sama apabila bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun pada aksi suku akhir di Porte de la Chapelle Arena, esok.
“Saya ada tengok perlawanan semalam (menentang Yan Zhe-Dong Ping), apa yang saya boleh katakan Tang Jie-Ee Wei bermain sangat baik, tanpa tekanan. Sudah tentu tekanan adalah kepada pasangan China itu kerana Dong Ping adalah pemenang pingat emas Olimpik Tokyo (bersama Wang Yilyu).
“Jadi, saya harap mereka dapat kekal dengan pendekatan sama, bermain tanpa tekanan apabila turun dalam aksi suku akhir. Mereka hanya perlu kekal fokus dan anggap tidak akan rugi apa-apa.
“Berdasarkan prestasi ditunjukkan mereka setakat ini, saya fikir ada peluang yang cerah untuk mereka sekurang-kurangnya memenangi pingat. Lagipun, standard mereka dengan pasangan lain tidak jauh, mereka sebenarnya boleh menewaskan sesiapa saja kalau berada pada tahap terbaik.
“Lagi pula ini adalah Sukan Olimpik, apa-apa pun boleh berlaku. Paling penting mereka perlu berjiwa besar setiap kali masuk ke gelanggang. Itu yang akan membezakan mereka dengan pihak lawan nanti,” kata Peng Soon kepada BH Sukan.
Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas menang ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan bermula dengan kejayaan menewaskan gandingan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan diikuti beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai dan Yan Zhe-Dong Ping.
Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei memiliki sedikit kelebihan berbanding Won Ho-Na Eun menjelang aksi suku akhir antara mereka apabila menang dua daripada tiga pertemuan sebelum ini termasuk dua pertemuan terakhir ketika Kejohanan Asia dan Terbuka China 2023.
Sekiranya melepasi halangan Won Ho-Na Eun, pasangan negara itu akan bertemu pemenang perlawanan antara beregu utama Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dan wakil Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet di separuh akhir.
Selaku pemain yang mempunyai pengalaman merasai tekanan aksi pusingan kalah mati di pentas Olimpik, Peng Soon menyarankan Tang Jie-Ee Wei mengambil pendekatan menganggap aksi suku akhir ibarat aksi final dalam usaha untuk memberikan motivasi tambahan kepada kedua-dua pemain itu.
“Ini sudah masuk pusingan kalah mati, jadi mereka perlu buat persiapan seperti aksi final, anggap setiap perlawanan adalah perlawanan terakhir mereka. Ini akan membuatkan mereka berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan,” katanya.
Sebagai rekod, Peng Soon bersama gandingannya Goh Liu Ying berjaya mencipta sejarah menjadi wakil beregu campuran pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik apabila mereka membawa pulang perak daripada Rio de Janeiro pada edisi 2016.
sumberH
Ia adalah pingat pertama dan terakhir dimenangi wakil beregu campuran negara di pentas Olimpik setakat ini.