sukan

Tang Jie-Ee Wei cipta kejutan ke atas beregu nombor dua dunia

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selaku juara Kumpulan D, sebentar tadi.

Pasangan nombor sembilan dunia itu membuktikan betapa Tembok Besar China mampu dirobohkan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 17-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh 70 minit pada aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.

Kedua-dua pasangan sebelum ini sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menang dua perlawanan awal dengan aksi hari ini menjadi penentu gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku ‘underdog’ dalam perlawanan memberi tentangan sengit di set pertama tetapi terpaksa akur dengan kekalahan 17-21.

Bagaimanapun, aksi set kedua menyaksikan pasangan negara itu tampil dengan permainan lebih tersusun sehingga membuatkan Yan Zhen-Dong Ping banyak melakukan kesilapan dan membolehkan mereka menang 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi lebih agresif dipamerkan Tang Jie-Ee Wei di set ketiga apabila mengawal permainan sejak dari awal yang menyaksikan Yan Zhe-Dong Ping hilang rentak dan ‘koyak’ sekali gus membolehkan pasangan negara menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-16.

sumber:- BH

Dengan status selaku juara kumpulan, ia akan meletakkan Tang Jie-Ee Wei sebagai pilihan dan boleh mengelak daripada bertemu pasangan utama yang lain apabila undian suku akhir dijalankan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan.