sukan

Selangor kembali rampas kedudukan carta Liga

Selangor kembali merampas kedudukan kedua Liga Super selepas menewaskan Penang 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Skuad Gergasi Merah yang tewas dalam dua aksi terakhir mereka termasuk ketika separuh akhir pertama Piala FA, 19 Julai lalu tidak menunggu lama untuk berada di depan selepas Mukhairi Ajmal Mahadi menyudahkan hantaran Alvin Fortes pada minit ketiga.

Penang bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 selepas kapten mereka, Rafael Vitor menyempurnakan sepakan penalti.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan tujuh minit apabila Yohandry Orozco pula menyudahkan sepakan penalti untuk kembali meletakkan Selangor di depan.

Fortes kemudian meledak gol ketiga Gergasi Merah menerusi sepakan percuma pada minit ke-89 sebelum Quentin Cheng melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Nidzam Jamil dengan menambah gol keempat pada masa kecederaan.

sumber:- BH

Keputusan itu menyaksikan Selangor memintas Sabah di kedudukan kedua dengan mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan.