sukan

Olimpik Paris : Pearly-Thinaah cipta kejutan ke atas bekas juara dunia

Aksi memukau dan sensasi perlawanan pertama sebentar tadi disulami dengan persembahan terbaik dari pasangan beregu wanita utama negara Pearly Tan dan M.Thinaah.

Pearly-Thinaah turun bertemu dengan bekas juara dunia 2018 dan 2019 dari Jepun, Mayu Matsumoto/Wakana Nagahara dalam misi mencari kemenangan pertama dalam aksi kumpulan A.

Set pertama tampak baik buat Pearly-Thinaah apabila berjaya mendahului perlawanan 11-7 pada satu ketika namun kualiti ditampilkan pasangan Jepun untuk bangkit semula sekaligus ambil set 21-18.

Di set kedua, Pearly-Thinaah tidak duduk diam, kembali catur strategi demi strategi dan akhirnya berjaya rampas set ini, 21-16.

Kembali bersaing di set penentuan, adegan perang psikologi tampak dimainkan oleh kedua-dua pasangan namun rezeki tidak pernah salah alamat apabila Pearly-Thinaah berjaya harumkan nama negara dengan menang set ini 21-15.

sumber:- stadium astro

Selepas ini, Pearly-Thinaah akan teruskan perjuangan dalam misi untuk mengisi slot suku akhir dengan syarat perlu membenam cabaran terakhir beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadanti dalam aksi kumpulan.