sukan

Olimpik Paris : Tang Jie-Ee Wei cemerlang aksi sulung

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui lega apabila berjaya mengatasi prestasi tidak menentu terutama di set pertama ketika melakar kemenangan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Pasangan nombor sembilan dunia itu menewaskan pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12 dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Porte de La Chapelle Arena.

Di sebalik kemenangan itu, Tang Jie-Ee Wei bergelut di set pertama apabila diberi tentangan sengit daripada Terry-Jessica sebelum memenanginya sekali gus membangkitkan semula tahap keyakinan mereka bagi mendominasi set kedua.

Ee Wei, berkata kunci kejayaan mereka dalam perlawanan itu adalah dia dan Tang Jie berjaya mengawal emosi mereka dengan baik terutama ketika berdepan situasi getir.

“Saya akui set pertama kami agak bergelut dan saya gembira kami memenangi perlawanan pertama ini.

“Kami melakukan persiapan yang baik untuk menghadapi Sukan Olimpik ini. Kami banyak berbincang bagaimana kami mahu mengawal emosi kami di dalam gelanggang dan ia sangat membantu kami dalam perlawanan hari ini,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Tang Jie-Ee Wei yang kali pertama layak beraksi di Sukan Olimpik dijadual berdepan beregu Amerika Syarikat (AS), Vinson Chiu-Jennie Gai untuk aksi kedua kumpulan, esok.

Kemenangan dalam aksi sulung itu jelas meningkatkan tahap keyakinan pasangan negara berkenaan bagi berdepan beregu AS.

Malah, Ee Wei akan mendapat motivasi tambahan apabila ahli keluarganya akan hadir menyaksikan perlawanan kedua peringkat kumpulan itu, esok.

sumber:- BH

“Ibu dan kakak saya akan datang menyaksikan perlawanan esok. Sudah tentu ia akan meningkatkan motivasi saya untuk melakukan yang terbaik terutama beraksi dihadapan keluarga sendiri,” katanya.