sukan

Komen Steinbruckner kad merah terhadap Ubaidullah

Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tampak keliru dengan apa yang berlaku dalam insiden yang mencetus kontroversi apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) dihadiahkan sepakan penalti dan pemain pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili dilayangkan kad merah pada aksi Liga Super malam tadi.

Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pengendali kelahiran Croatia itu seakan-akan kebingungan dengan keputusan pengadil, Fitri Maskon yang melayangkan kad merah dalam perlawanan itu ketika aksi memasuki minit ke-30.

“Saya tak pasti sama ada penalti atau tidak, lebih membingungkan apabila pemain saya, Ubaidullah kena kad merah, rakan saya hantar mesej dengan tanda soal berhubung penalti dan kad merah.

“Apapun saya tidak mahu cepat melatah sebaliknya akan melihat dan melakukan reviu sebelum membuat sebarang tindakan susulan dan tidak dinafikan JDT pasukan yang lebih baik selepas jaringan gol pertama yang mereka jaringkan menyebabkan kami tersentap,” katanya.

Steinbruckner menegaskan kekalahan 0-4 kepada skuad kendalian Hector Bidoglio sememangnya cukup mengecewakan malah gol awal oleh Heberty Fernandes di awal permainan bagaikan beri semangat buat JDT menekan benteng TFC.

Tegasnya, barisan pemainnya kerap melakukan kesilapan individu yang membuka ruang buat pemain JDT seperti Bergson Da Silva sempat untuk mendada bola tanpa pemain TFC memberi tekanan malah ketiadaan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid selain Ivan Mamut dan Safwan Mazlan yang mengalami kecederaan menjejaskan persiapan TFC.

sumber:- HM

Ditanya mengenai kecederaan yang dialami Ismaheel Akinade pada aksi itu, Steinbruckner menegaskan kemungkinan TFC terpaksa melupakan khidmat pemain import dari Nigeria itu dalam tempoh yang belum pasti lagi.