sukan

FAM beri amaran

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi peringatan kepada semua pihak supaya menghormati keputusan pengadil yang mana setiap keputusan di Liga Malaysia (Liga M) adalah muktamad mengikut undang-undang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu Undang-undang 5 di muka surat 65.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram menegaskan berdasarkan perkara terbabit, keputusan pengadil mengenai fakta yang berkaitan dengan permainan termasuk sama ada gol dijaringkan atau tidak dan keputusan perlawanan adalah muktamad.

“Keputusan pengadil dan semua pegawai perlawanan lain, mesti sentiasa dihormati. Mana-mana pemain atau pegawai pasukan juga tidak boleh membuat komen terbuka di media sosial atau apa jua saluran media berkaitan dengan keputusan pengadil.

“FAM tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib sekiranya mana-mana pihak yang menyoal kredibiliti dan keputusan pengadil. Ini kerana setiap pengadil, Penolong Pengadil, Pengadil VAR, AVAR dan ‘Replay Operator’ yang dilantik oleh FAM adalah individu yang bertauliah dan telah diiktiraf oleh FIFA.

“Pasukan-pasukan yang bertanding serta media disaran merujuk kepada FAM bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan protokol VAR, undang-undang bola sepak serta sebarang jawapan berkaitan dengan keputusan pengadil,” katanya.

Terdahulu, badan induk itu sedang menunggu jawapan balas daripada ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde susulan kenyataannya mempertikai mutu pengadilan ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, minggu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya sudah mengemukakan surat pertuduhan kepada Norde pada Isnin lalu.

Dalam masa sama, Sivasundaram yang juga Timbakan Presiden FAM turut menyatakan setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA.

“Pelaksanaan dan operasi Video VAR di Liga Malaysia adalah berasaskan kepada protokol VAR FIFA dan ia diiktiraf oleh FIFA.

“FAM sentiasa mengutamakan ketepatan keputusan dan prestasi pengadil yang optimum daripada setiap pengadil yang mengadili perlawanan Liga M.

Keputusan sesuatu perlawanan itu sama ada menang, seri atau kalah, ia datang daripada pasukan itu sendiri.

sumber:- BH

“FAM juga memiliki sistem pengajaran dan pemantauan prestasi pengadil yang setaraf dengan piawaian antarabangsa yang melibatkan pembangunan dan pengajaran yang berfokus pada ‘makro- mikro’ seperti ‘pre-match briefing’, ‘post match debriefing’, ‘online post match debriefing’,’video editing and analysis’, ‘VAR Refresher Course’ dan sebagainya,” kata Sivasundaram.