sukan

Sabah FC kembali raih kemenangan

Sabah FC menepati sasaran untuk kembali memenangi perlawanan di Stadium Likas selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 dalam aksi Liga Super, malam ini.

Gol pendahuluan Sang Badak itu dijaringkan pada minit ke-13 oleh Daniel Ting, manakala gol kedua dicipta menerusi sepakan penalti Mohd Jafri Chew pada minit ke-80.

Sabah dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang import Sabah, Telmo Castanheira dijatuhkan pemain pertahanan NSFC, Zainal Abidin Jamil di kawasan kotak penalti.

Pada babak pertama, Daniel membuka jaringan selepas menerima hantaran Telmo Castanheira untuk mendahului 1-0 dan jaringan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

NSFC turut berpeluang melakukan beberapa cubaan menarik sepanjang babak pertama terutama menerusi penyerang tengahnya, Takumi Sasaki, namun gagal menembusi gawang tuan rumah dikawal penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

NSFC bermain dengan 10 pemain selepas seorang pemainnya dilayangkan kad merah pada minit ke-65 kerana menerjah kaki pemain gantian Sabah, Azhad Harraz Arman yang baru dibawa masuk pada babak kedua.

sumber:- HM

Selepas serangan demi serangan gagal menepati sasaran, anak buah Datuk Ong Kim Swee menambah jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80.