sukan

Malaysia akan buat perhutungan dengan Thailand

Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara akan membuat perhitungan dengan Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya, esok bagi menentukan juara Kumpulan C Kejuaraan B-19 ASEAN 2024.

Malaysia yang juga juara bertahan mengungguli saingan Kumpulan C apabila memiliki kelebihan jaringan walaupun berkongsi enam mata dengan Thailand yang berada di tangga kedua.

Justeru, keputusan seri sudah cukup untuk skuad kendalian Juan Torres Garrido muncul juara kumpulan dan mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Meskipun mempamerkan persembahan cemerlang dalam dua aksi menentang Brunei dan Singapura sebelum ini, Garrido bagaimanapun perlu memastikan anak buahnya memberi fokus sepenuhnya untuk berdepan Thailand.

“Sudah pasti ada beberapa perkara yang saya lihat dalam aksi sebelum ini kami perlu tingkatkan,” kata Garrido seperti dilaporkan media Indonesia, antaranews.com.

Skuad muda negara merekodkan keputusan cemerlang dalam aksi sebelum ini apabila membelasah Brunei 11-0 dan mengatasi Singapura 5-0.

Juara kumpulan serta satu naib juara terbaik daripada tiga kumpulan akan layak ke separuh akhir yang akan berlangsung, Sabtu ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Emerson Pereira di laman rasmi Persatuan Bolasepak Thailand mengakui pasukannya akan mengharungi saingan sengit berdepan Malaysia.

“Bagi saya, Malaysia pasukan yang bagus. Mereka memiliki pemain sayap yang bagus di kedua-dua bahagian, tetapi saya percaya pemain saya boleh bersaing dengan mereka.

sumber:- BH

“Kami ada satu lagi perlawanan (peringkat kumpulan) menentang Malaysia dan selepas itu kami akan melihat siapa lawan seterusnya,” katanya.