sukan

Park Hang Seo minat kendali Malaysia

Siapa yang bakal mengisi jawatan jurulatih Harimau Malaya terus hangat diperkatakan dengan terbaharu nama bekas pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang Seo pula menjadi sebutan.

Media Vietnam, Bongdaplus dalam laporan mereka mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu sebagai antara calon utama bagi menggantikan tempat Kim Pan-gon.

Setakat ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih lagi kekal tenang dengan tidak akan tergesa-gesa untuk mencari pengganti Pan-gon selepas melantik Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Meskipun dianggap sebagai perancangan jangka pendek, badan induk itu pasti akan menilai keupayaan Vicente terutama pada kejohanan Pestabola Merdeka, September depan dan mungkin juga hingga Piala Asean hujung tahun ini.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga dilaporkan berkata bahawa Hang Seo pernah menyatakan minat untuk membimbing Harimau Malaya.

Pengendali berusia 66 tahun itu kini bertindak sebagai penasihat kelab Bac Ninh FC di Vietnam dan dia turut dikatakan menjadi buruan pasukan kebangsaan Kemboja.

Pada 16 Julai lalu, Pan-gon mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta merta kerana komitmen peribadi, biarpun kontraknya dengan FAM masih berbaki hingga Disember 2025.

Staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun bagaimanapun akan terus kekal berdasarkan kontrak masing-masing.

Selain Hang Seo, nama lain yang turut dikaitkan sebagai pengendali Harimau Malaya ialah bekas pengendali Tajikistan, Petar Segrt.

sumber:- HM

Hal ini kerana, Segrt secara terbuka menyatakan minat menggalas peranan jurulatih Harimau Malaya. Minat jurulatih Croatia itu timbul selepas jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai jurulatih skuad kebangsaan Malaysia pada 16 Julai lalu.