sukan

Pasukan kedua jadi mangsa belasahan Malaysia

Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara terus membuktikan kehebatan di pentas Piala Asean B-19 apabila membelasah Singapura 5-0 dalam aksi kumpulan C, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora 10 November, Surabaya, menyaksikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido menguasai hampir 90 minit dengan terus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan sebaik saingan bermula.

Pasukan muda negara tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan gol apabila berada di depan seawal minit ketujuh menerusi Ridzwan Rosli.

Malaysia yang menurunkan kesebelasan terbaik tidak lagi menoleh kebelakang apabila menambah gol selang lima minit kemudian menerusi Naim Zainudin untuk kedudukan 2-0.

Walaupun skuad muda Singapura yang dipimpin Mohamed Fadzuhasny Juraimi cuba mengatur serangan untuk merapatkan jurang gol namun kekebalan benteng Malaysia berjaya mengekang setiap asakan mereka.

Malah, Malaysia terus menambah derita Singapura apabila menyumbat gol ketiga perlawanan pada masa tambahan separuh masa pertama yang disempurnakan G Pavithran.

Memasuki babak kedua menyaksikan anak buah Garrido terus memperhebatkan serangan bagi merobek gol lawan.

Gawang Singapura terus bocor menerusi Farish Danish pada minit 73 sebelum Izzat Syahir melengkapkan mimpi indah Malaysia dengan menyumbat gol kelima pada minit 82.

Keputusan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Malaysia terus menerajui kumpulan C dengan enam mata selain turut merekodkan tanpa bolos selepas dua pertemuan.

sumber:- HM

Malaysia akan menutup kempen kumpulan C dengan bertemu Thailand pada Khamis ini di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya.