sukan

Park Hang Seo paling sesuai

Pelantikan pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan boleh dianggap sebagai perancangan jangka masa pendek oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Itu pandangan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin yang mengharapkan badan induk itu supaya dapat mengambil ‘kembar’ iaitu pengendali yang memiliki karakter yang sama seperti Kim Pan Gon untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya bagi jangka masa panjang.

Justeru, Sulaiman yang melihat bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo sebagai individu yang sesuai untuk meneruskan legasi Pan Gon namun itu tidak bermakna dia memandang rendah terhadap kemampuan Pau Marti yang sudahpun menimba ilmu bersama Pan Gon sebelum ini.

“Pau Marti mungkin sesuai untuk jangka masa pendek ataupun sebagai pengganti sementara kerana banyak ilmu yang dia dapat bersama Pan Gon. Tetapi saya rasa FAM perlu mencari pengganti yang lebih sesuai tetapi kita pun tidaklah mendoakan supaya dia tidak berjaya.

“Kalau dia berjaya untuk teruskan legasi Pan Gon dan buat skuad kebangsaan bertambah baik, apa salahnya untuk dia terus diberi peluang tetapi kalau tidak berjaya menyerlah, paastinya FAM kena ada satu jalan untuk mencari jurulatih berpengalaman dan mampu ikut budaya kita.

“Kalau tanya sama ada Hang Seo (sesuai), kita kita tengok kadang kala ada jurulatih berjaya di pasukan A tetapi tak tentu dia berjaya di pasukan B. Cuma kalau ikut pencapaian, memang Hang Seo mengangkat Vietnam ke tahap yang lebih baik.

“Jika Hang Seo ditakdirkan jadi jurulatih skuad Harimau Malaya, saya harap dia mendapat sokongan sepenuhnya dan saya yakin dia antara calon yang sesuai kerana karakter orang Korea yang ada pada beliau, malah dia lebih ‘brutal’ dan pemain kita perlu bersedia dengan perkara ini,” katanya.

Sulaiman berkata demikian menerusi Podcast Berita Harian Online Borak Hari Ini yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris dan kini ia boleh ditonton menerusi saluran Youtube Berita Harian Online dengan topik perbincangannya adalah ‘Bola sepak Malaysia selepas Pan Gon tiada.’

Turut menjadi panel ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa.

Dalam masa sama, Sulaiman mengharapkan ada pemain baharu yang bakal diberi peluang oleh Pau Marti untuk membarisi skuad kebangsaan bagi tugasan antarabangsa seterusnya iaitu Pestabola Merdeka.

“Tugas utama Pau Marti adalah mengenalpasti ramai pemain. Hampir 61 pemain dipanggil Pan Gon dan mungkin ada pemain baharu dalam pemerhatian Pau Marti sebab kita pun tahu mereka banyak menyaksikan perlawanan Liga Super.

sumber:- BH

“Mungkin ada pemain yang tidak sesuai di mata Pan Gon tetapi sesuai di mata Pau Marti. Jadi Pau Marti boleh beri peluang muka baharu ini menyinar dan secara tidak langsung akan membakar semangat pemain lain bahawa pintu ke skuad kebangsaan sentiasa terbuka,” katanya.