sukan

Pan Gon tak mahu jadi macam Vietnam

Barisan kejurulatihan skuad bola sepak kebangsaan yang kini diterajui Pau Marti Vicente selaku pemangku ketua jurulatih tidak seharusnya diberi tekanan dan diberikan masa secukupnya bagi memberikan hasil yang mantap.

Peringatan itu diberikan bekas jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang bimbang tekanan demi tekanan yang diberikan kepada barisan kejurulatihan mampu membuatkan Malaysia ‘hilang arah tuju’ seperti yang dialami Vietnam ketika ini.

“Apa yang sudah kita lakukan ini amat baik. Perkara ini terjadi di Vietnam. Apabila jurulatih (Park Hang Seo) meraih kejayaan yang besar, penggantinya (Phillipe Troussier) menghadapi tekanan.

“Penggantinya pula teruk, seterusnya juga sama. Situasi itu sangat tertekan. Tekanan itu tidak seharusnya kita berikan kepada Pau Marti.

“Kita perlu berikan masa kepada Pau Marti agar beliau boleh memberikan yang terbaik. Sesetengah tekanan boleh diberikan kepadanya namun jika keterlaluan akan membunuhnya,” kata Pan Gon menerusi temubual bersama sebuah televisyen swasta.

Terdahulu, Pan Gon membuat keputusan drastik untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta dalam satu sidang media khas, minggu lalu.

Kekosongan ditinggalkan Pan Gon menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Pau Marti sebagai pemangku ketua jurulatih dengan dibantu oleh E Elavarasan.

Sebagai rekod, Pan Gon mula dilantik selaku pengendali skuad kebangsaan pada Januari 2022 bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.

Skuad negara menikmati pelbagai detik indah di bawah kendalian Pan Gon antaranya menamatkan penantian penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas kali terakhir melakukannya pada 1979 ketika Kelayakan Piala Asia 1980.

Pan Gon juga berjaya meningkatkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada tangga ke-154 ketika dia mula dilantik sehingga pernah berada di tangga ke-130 dunia iaitu kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun.

sumber:- BH

Antara perlawanan yang pasti diingati adalah kemenangan besar 10-0 ke atas Papua New Guinea serta kejayaan mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi Piala Asia 2023.