Skuad Harimau Malaya bakal menerima tempias apabila seorang lagi pemain warisan akan di bawa ‘pulang’ oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) membabitkan bekas penjaga gol Real Madrid, Diego Altube.
Difahamkan, Altube memiliki pertalian darah dengan Malaysia sebelah ibunya dan dikhabarkan pemain kelahiran Sepanyol itu sudah menerima pasport negara ini.
Sebelum ini pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada mendedahkan kelab itu bakal membuat penambah baikan pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka bulan depan.
Menurut laman Transfermarkt, Altube kini dinilai pada tanda harga 600,000 Euro (RM3.062 Juta) sekali gus bakal menjadi penjaga gol termahal Malaysia sekiranya menjadi kenyataan.
Difahamkan dia sudah berada di negara ini dan bakal diumumkan sebagai JDT dan akan bersaing hebat bersama penjaga gol utama skuad Harimau Selatan ketika ini, Syihan Hazmi.
Jika semuanya berjalan lancar, skuad kebangsaan turut boleh mencuba khidmat penjaga gol gred ‘A’ ini seawal saingan Pestabola Merdeka September ini yang dikendalikan pemangku jurulatih, Pau Marti.
Untuk rekod, penjaga gol berketinggian 1.88 meter ini pernah disenaraikan dalam skuad utama Real Madrid selama dua musim dari 2020-2022 sebelum beraksi untuk La Liga 2, Albacete musim lalu.
sumber:- HM
Pengalaman beraksi dengan kelab terkemuka dunia itu pastinya memberi manfaat buat JDT yang dijadual bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL Elit) nanti selain skuad Harimau Malaya sebagai benteng terakhir pasukan.