Impian peminat setia Terengganu FC (TFC) untuk menyaksikan penampilan pertama penjaring terbanyak skuad itu musim lalu, Ivan Mamut beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini kemungkinan tidak menjadi kenyataan.
Hal ini kerana penyerang kelahiran Croatia itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya ketika khidmat pemain di posisi itu begitu diperlukan pasukan.
Menambah lagi situasi itu apabila ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner membayangkan akan melepaskan pemain berusia 27 tahun itu pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula 26 Ogos hingga 22 September 2024.
Jelas Steinbruckner, beliau tidak boleh menunggu terlalu lama berhubung kecederaan pemain tinggi lampai itu memandangkan tempoh Liga M masih lagi panjang sehingga 2025.
“Sekarang sudah hampir enam bulan Mamut tidak boleh beraksi, jadi kami bayangkan perlu mencari penggantinya pada jendela perpindahan kedua nanti bagi memantapkan lagi pasukan, mungkin pemain tengah menyerang ataupun penyerang tulen,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu akui sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan berhubung perkara itu.
“Tiga hari lalu saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan kerana kami mempunyai sasaran yang tinggi, jadi keputusan segera perlu dibuat, namun keputusan akhir belum dimuktamadkan lagi kerana saya sedar semuanya bergantung kepada kewangan kelab,” katanya.
sumber:- BH
Pada musim lalu, pemain yang baharu pertama kali mewarnai pentas Liga M berjaya menjaringkan 22 gol sepanjang 32 penampilannya bersama skuad Penyu itu.