Pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Safee Sali menganggap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain lawan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA, malam tadi.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman di Alor Setar itu, keputusan pengadil perlawanan Nazmi Nasaruddin yang tidak memberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad nyata menimbulkan persoalan ramai pemerhati.
Biarpun insiden itu dirujuk menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR), Nazmi nyata tetap dengan keputusannya untuk tidak memberikan penalti.
“Saya terkejut sebenarnya apa yang berlaku. Situasi dakwaan penalti itu, saya rasa itu keputusan meragukan sebab ia ‘clear penalty’.
“(Dengan) VAR, kita dapat memastikan keadaan itu betul, pasti atau tidak. Selalunya beri kelebihan pada pasukan menyerang dan pertahanan selalu hadapi masalah.
“Benda (bola) itu terkena tangan dan seharusnya penalti,” kata Safee ketika mengulas insiden itu dalam sebuah stesen televisyen swasta.
Insiden itu jelas mengecewakan KDA FC kerana selepas tidak diberikan sepakan penalti, JDT meraih gol kedua menerusi Romel Morales sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi Zain tumbang 1-2 di laman sendiri.
Sementara itu, seorang lagi penyerang kebangsaan, Norhshahrul Idlan Talaha melihat bola sememangnya ada terkena tangan namun keputusan Nazmi adalah muktamad.
“Kita boleh nampak dalam ulang tayang di kaca televisyen, (bola) ada terkena tangan dalam kotak penalti. Bagaimanapun, keputusan di tangan pengadil, nak panggil VAR pun keputusan pengadil.
sumber:- HM
“Pengadil sudah membuat keputusan jadi harus terimalah,” kata Norhshahrul.Selepas ini kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi dalam aksi timbal balik pada 4 Ogos ini yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.