sukan

Marcus Fernaldi Gideon pilih Aaron-Wooi Yik

Bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon meletakkan pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai salah satu pilihannya utamanya untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Aaron-Wooi Yik, Marcus turut memilih pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sebagai antara yang berpotensi membawa pulang emas.

“Sudah tentu saya memberi sokongan padu kepada Fajar-Rian tetapi saya juga percaya yang Aaron-Wooi Yik juga ada peluang.

“Ini ditambah pula dengan kehadiran Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia) bersama mereka.”Kehadiran Rexy dalam kejohanan-kejohanan besar selalunya membawa tuah,” katanya ketika ditemui pada perlawanan pertunjukan badminton bersama bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong dan pemain beregu profesional, Ong Yew Sin di Kepong di sini, hari ini.

Marcus yang bergandingan bersama Kevin Sanjaya Sukamuljo sebelum ini mencetuskan fenomena apabila dilabel pasangan yang sukar untuk ditewaskan.

Mereka menjuarai pelbagai kejohanan Jelajah Dunia BWF sehingga bergelar pasangan nombor satu dunia.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu yang mengumumkan persaraan awal tahun ini gagal untuk memenangi gelaran dalam kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Marcus-Kevin yang berada di kemuncak prestasi ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 gagal menyerap tekanan apabila tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas di tangan Aaron-Wooi Yik yang kemudiannya berjaya membawa pulang gangsa.

Marcus berkata status Aaron-Wooi Yik yang bukan pasangan pilihan pada Olimpik Paris kali ini mampu membantu mereka untuk mempamerkan prestasi sebenar pada hari pertandingan.

“Situasi kami (Marcus-Kevin) dengan Aaron-Wooi Yik berbeza. Kami dulu adalah pasangan nombor satu dunia dan ke mana-mana sahaja orang letak harapan yang tinggi kepada kami untuk menang.

sumber: BH

“Perkara itu menyukarkan kami dan membuatkan kami tidak boleh beraksi dengan baik ketika itu.”Aaron-Wooi Yik pula… ada tekanan tetapi tidak terlalu besar seperti yang kami hadapi yang. Saya percaya mereka boleh menikmati permainan mereka yang menjadi faktor penting untuk mempamerkan prestasi terbaik di Olimpik,” katanya.