sukan

Komen Bidoglio aksi berdepan Kedah

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio berpuashati dengan aksi barisan pemainnya walaupun terpaksa bergantung gol di saat akhir untuk menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA malam tadi.

Menurut pengendali berpengalaman berusia 56 tahun ini, kemenangan itu harus membuktikan kekuatan mental pemainnya untuk bangkit dalam tekanan selepas lawan menyamakan kedudukan.

“Kami tahu ini satu aksi yang sukar tetapi saya tetap melihat JDT beraksi dengan baik dengan kami melepaskan beberapa peluang terbaik untuk mendapatkan gol pada babak pertama dan kedua.

“Saya memuji aksi setiap pemain dan kami berazam untuk mempertingkatkan lagi keupayaan apabila beraksi di laman sendiri.”Saya berpuas hati dengan keputusan ini walaupun kami mencatat kemenangan tipis.

Bagi saya semua perlawanan yang kami hadapi adalah sukar dan bagus untuk perkembangan dan peningkatan pasukan kerana JDT adalah pasukan besar dan semua pasukan yang menentang JDT akan berusaha mengalahkan kami,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan itu, Oscar Aribas meletakkan JDT di depan pada minit ke-23 sebelum Habib Haroon kemudian menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat aksi.

Ketika aksi seakan berkesudahan seri, pemain gantian JDT, Romel Morales meledak gol kemenangan sebelum wisel penamat ditiup.

Bidoglio bagaimanapun mengakui Kedah kendalian Nafuzi Zain adalah pasukan yang bagus selain mereka mendapat sokongan padu penyokong.

sumber:- HM

“Aksi ini sukar kerana Kedah adalah pasukan yang bagus dan juga beraksi dengan baik menentang kami, namun perancangan kami juga dapat dilihat dengan baik dengan bertukar serangan kiri dan kanan dan sentiasa mencari ruang dalam gerakan.”Jadi kami perlu pertingkatkan lagi kemampuan kami dari hari ke hari untuk menjadi lebih baik,” katanya.