sukan

Kedah nyaris kejutkan JDT

Jaringan pemain gantian, Romel Morales pada hujung babak kedua membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT yang juga penyandang juara mendapat kelebihan menjelang aksi kedua di laman sendiri bulan depan.

Pada aksi di hadapan 22,600 penonton, skuad kendalian Hector Bidoglio mencemaskan tuan rumah pada minit ke-10 tetapi sepakan percuma Juan Muniz terkena palang.

Kedah kemudian membalas tetapi sepakan percuma Sony Norde pada minit ke-15 hampir menewaskan Syihan Hazmi yang berjaya menepis keluar.

Skuad Sang Kenari bagaimanapun dikejutkan pada minit ke-23 apabila larian pantas Oscar Aribas membuahkan hasil selepas berjaya menewaskan dengan Kalamullah Al-Hafiz dalam situasi satu lawan satu.

JDT terus mengasak ke gawang Kedah melalui penyerang utamanya, Berson Da Silva yang berjaya membolosi gawang Kedah pada minit ke-31 namun dibatalkan kerana ofsaid melalui semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum percubaan Arif Aiman Hanapi terkena tiang gol seminit sebelum tamat.

Kemasukan penyerang gantian Ebenezer Assifuah pada minit ke-56 dan Fayadh Zulkifli pada minit ke-63 menggantikan penyerang Milos Gordic dan Faiz Nasir jelas menghidupkan jentera depan tuan rumah.

Hasilnya, anak buah Nafuzi Zain berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 Habib Haroon menolak masuk selepas berlaku situasi kelam kabut di kawasan penalti JDT hasil sepakan percuma Sony Norde.

Kedah hampir mendapat sepakan penalti selepas itu apabila bola dikatakan terkena tangan pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad namun tidak disahkan melalui semakan VAR.

sumber:- BH

Bagaimanapun, sebelum pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin meniup wisel penamat, Morales yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan pelawat.