Skuad Harimau Malaya naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-134 dunia menerusi kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.
Bagaimanapun, tiada perubahan dari segi pungutan mata di mana skuad negara masih menghimpun 1107.58 mata sama seperti kemas kini terakhir pada 20 Jun lalu.
Kedudukan ini menyaksikan skuad negara kekal berada satu anak tangga di belakang seteru serumpun, Indonesia yang turut naik satu anak tangga ke kedudukan 133 dunia.
Kemas kini seterusnya akan berlangsung pada 19 September ini.Bagi kedudukan negara ASEAN yang lain menyaksikan Thailand turun satu anak tangga ke-101 namun Vietnam naik satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-115 dunia.
Filipina kekal ke-147 dunia sementara Singapura dan Myanmar masing-masing turun dua anak tangga untuk berada di tangga ke-161 dan ke-166.
Jepun kekal selaku pasukan terbaik Asia namun turun satu anak tangga di kedudukan ke-18, Iran kekal di tangga ke-20 manakala Korea Selatan turun satu anak tangga (23).
sumber:- BH
Secara keseluruhan, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan 1901.84 dan juara Eropah, Sepanyol melonjak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga apabila meraih mata terbanyak dengan 105.75 mata.Perancis berada di tangga kedua ranking FIFA dengan 1854.91 mata.