Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui bakal mengharungi perjalanan berliku dalam misi memenuhi impian memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ujian sebenar pemain nombor tujuh dunia itu akan bermula di pusingan kalah mati yang menyaksikan dia bakal bertemu pemain berstatus ‘gergasi’.
Dia diramal tidak berdepan masalah untuk muncul juara Kumpulan G yang turut dibarisi pemain Sepanyol, Pablo Abian dan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka sekali gus melangkah ke pusingan 16 terakhir.
Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dijangka menantinya dalam perebutan tiket ke suku akhir.
Sekiranya berjaya mengatasi halangan Ginting, Zii Jia akan membuat perhitungan dengan rakan baiknya dari Denmark, Anders Antonsen manakala bintang sensasi China yang juga pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi diramal menjadi lawannya jika masing-masing melangkah ke separuh akhir.
Juara bertahan yang jaguh perseorangan Denmark, Viktor Axelsen dijangka menantinya bagi perebutan emas andai mara ke pentas final.
Di sebalik laluan berliku yang akan bakal ditempuhinya itu, ia tidak sedikit melunturkan semangat Zii Jia yang tekad untuk berjuang habis-habisan demi memenuhi impiannya memenangi emas.
“Lawan sudah pun diketahui, jalan sukar menanti. Daripada pemain gergasi hingga ke pemain harapan masa depan.
“Tetapi perjuangan sebenar adalah menentang diri sendiri. Keinginan untuk menang sebahagian daripada perjuangan tetapi mengetahui caranya akan menjadi kunci untuk memenanginya.
“Sekali lagi akan mengharungi pertarungan yang hebat dan satu lagi peluang untuk memenuhi impian. Saya perlu berani untuk berjuang.
“Walaupun saya bersendirian di dalam gelanggang tetapi saya tahu ramai yang akan memberi sokongan kepada saya,” katanya menerusi hantaran di laman X Team LZJ.
Olimpik Paris akan menjadi penampilan kedua Zii Jia beraksi di temasya terbesar dunia itu selepas membuat kemunculan sulung di Olimpik Tokyo 2020.
Di Tokyo, Zii Jia yang ketika itu diundi dalam Kumpulan M menang dalam kedua-dua perlawanan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dan Artem Pochtarov untuk muncul juara kumpulan.
Bagaimanapun, langkahnya terhenti selepas tewas dalam pertarungan tiga set di tangan bintang China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21 di pusingan 16 terakhir.
Selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu awal tahun ini, Zii Jia mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila merekodkan dua kejuaraan dan satu naib juara dalam lima kejohanan terakhirnya sebelum Olimpik Paris.
sumber:- BH
Dia muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Australia manakala naib juara di Masters Malaysia.