Kalendar skuad kebangsaan akan penuh selepas Pestabola Merdeka 2024 memandangkan skuad Harimau Malaya akan menghadapi empat perlawanan pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Oktober dan November ini.
Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dengan Azman mengesahkan dua aksi terbabit akan berlangsung di luar negara.
Jelasnya, satu pasukan dari Asia Barat dijangka menjadi pilihan antara Syria atau Yaman selain Laos yang sudah mengesahkan kesediaan untuk menguji skuad bimbingan Pau Marti Vicente itu.
“Bulan Oktober kita ada dua perlawanan di tempat lawan, dan selepas itu pada bulan November ada dua perlawanan di sini (di Kuala Lumpur) sebelum bersaing di Piala AFF (hujung bulan November).
“Kita sedang tunggu (lawan) untuk bulan Oktober dan kita akan bermain di luar negara. Bulan Oktober masih dalam pencarian dan kita akan main di sekitar Asia.
“Kita sah akan menentang Laos pada bulan November tetapi satu lagi (pasukan), kita sedang menunggu pengesahan sama ada Syria atau pun Yaman,” katanya.
Terdahulu, Pau Marti ‘dinaikkan pangkat’ sebagai pemangku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Kim Pan Gon yang meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, Selasa lalu.
sumber:- BH
Ujian sulung menanti pengendali dari Sepanyol itu adalah aksi Pestabola Merdeka yang membabitkan penyertaan Malaysia, Lubnan, Filipina dan juga Tajikistan.