sukan

Malaysia garang bedal lawan 11-0 pada aksi pertama

Juara bertahan, Malaysia membuka kempen Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF 2024 dengan cemerlang apabila membelasah Brunei 11-0 pada aksi pertama Kumpulan C di Stadium Gelora 10 November, Surabaya, petang tadi.

Penguasaan penuh ditunjukkan anak buah Juan Torres Garrido sebelum mendahului enam gol pada babak pertama dengan Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi G Pavithran sebelum dua gol pantas Abid Safaraz pada minit ke-14 dan ke-16 menjadikan kedudukan 3-0.

Danish Hakimi meledak gol keempat (m-25) disusuli Haykal Danish (m-42) dan Pavithran menambah gol kedua peribadinya untuk kedudukan 6-0 seminit berselang.

Bersambung selepas rehat, skuad muda negara terus mengganas menerusi sepakan penalti disempurnakan Izzat Syahir pada minit ke-53 disusuli jaringan Amir Farhan (m-68) dan Zamirul Hakim (m-75).

Abid melengkapkan hatriknya pada minit ke-80 sebelum Muhammad Shafizan menjadikan kedudukan 11-0 pada minit ke-82.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Singapura pada Isnin sebelum menutup kempen peringkat kumpulan berdepan Thailand pada Khamis.

sumber:- BH

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir dan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan melengkapkan senarai separuh akhir.