Saingan Pestabola Merdeka dan Piala AFF pada September dan November ini bakal menjadi ujian terbesar buat pemangku jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti yang dilantik bagi menggantikan Kim Pan-gon.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, dua kejohanan utama itu akan dijadikan kayu pengukur kepada kemampuan Pau Marti dan kedudukannya akan dinilai selepas dua saingan itu.
Katanya, ketika ini FAM tiada perancangan untuk melantik jurulatih baharu secara tetap memandangkan kontrak Pau Marti masih ada sehingga Disember 2025.
Bagaimanapun, jelasnya, prestasi pasukan akan diperhatikan dalam dua kejohanan itu sebelum memutuskan sebarang tindakan lain dengan keutamaan badan induk itu adalah mempersiapkan pasukan bagi menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual bermula Mac tahun depan.
“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya adalah mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.
“Pada masa sama, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-Pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti ini.
“Ia terutama menjelang Piala AFF 2024 pada November dan Disember ini, serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan,” katanya.
Terdahulu, Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.
Alasan pengunduran jurulatih berasal dari Korea Selatan itu adalah disebabkan urusan peribadi biarpun masih memiliki kontrak hingga hujung 2025.
Sepanjang tempoh melatih pasukan sejak Februari 2022 lalu, Pan-gon membawa skuad negara ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu serta menaikkan ranking negara dari kedudukan 154 ke 130 dunia.
sumber:- HM
Susulan keputusan Pan-gon itu, bekas pembantunya iaitu Pau Marti diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad negara sebagai pemangku jurulatih.