Bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menegaskan dia tidak boleh berkongsi butiran lanjut mengenai punca dia mengambil keputusan drastik untuk meletakkan jawatannya.
Meskipun mengatakan tindakan itu diambil atas komitmen peribadi, namun Pan Gon memberi bayangan ada perkara yang mendorong dia meletak jawatan meskipun kontraknya berakhir pada Disember 2025.
Tegasnya, perkara itu dianggap ‘bahaya’ dan ia hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Butiran lanjut mengenai keputusan ini tidak boleh saya kongsikan di sini. Sangat bahaya. Datuk Hamidin tahu semuanya tetapi tidak perlu tanya dia lagi.
“Tak perlu tanya soalan itu di sini. Semua sudah selesai,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Kekosongan ditinggalkan Pan Gon menyaksikan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dan dibantu oleh pembantu jurulatih, E Elavarasan.
Sebagai rekod, Pan Gon mula dilantik selaku pengendali skuad kebangsaan pada Januari 2022 bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.
Skuad negara menikmati pelbagai detik indah di bawah kendalian Pan Gon antaranya menamatkan penantian penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas kali terakhir melakukannya pada 1979 ketika Kelayakan Piala Asia 1980.
Pan Gon juga berjaya meningkatkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada tangga ke-154 ketika dia mula dilantik sehingga pernah berada di tangga ke-130 dunia iaitu kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun.
sumber:- BH
Antara perlawanan yang pasti diingati adalah kemenangan besar 10-0 ke atas Papua New Guinea serta kejayaan mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi Piala Asia 2023.