sukan

Kim Pan-gon akui menyesal

Biarpun sah ‘bercerai’ dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, namun bekas pengendali Kim Pan-gon akui tetap mahu menyumbang idea membangunkan bola sepak negara di pentas dunia.

Jelas Pan-gon, beliau pastinya merasa menyesal selepas bangun daripada tidur esok di atas keputusannya itu.

Begitupun, ia terpaksa diambil dengan beliau mahu mencari cabaran baharu dalam kariernya.

“Mungkin apabila saya bangun esok pagi, saya akan menyesal (dengan keputusan ini) tetapi ini adalah perjalanan baharu untuk saya dan juga bola sepak Makaysia. Saya harap semua orang faham dan kekal positif kerana ini bukanlah pengakhirannya.

“Cinta saya tetap di sini kerana saya hanya meninggalkan posisi saya sebagai ketua jurulatih Malaysia. Hubungan saya dengan bola sepak Malaysia tidak akan berakhir dan saya akan terus menyokong bola sepak Malaysia.

“Mungkin saya akan menyumbang dengan acara yang lain. Saya tidak boleh tinggalkan perkara itu kerana saya membina legasi saya di sini.

“Mungkin saya akan pulang ke Hong Kong dan datang semula ke sini minggu depan sebagai sahabat atau penyokong bola sepak,” katanya.

Terdahulu, Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Keputusan meninggalkan pasukan diambil jurulatih dari Korea Selatan itu atas sebab peribadi. Ujar Pan-gon, sepanjang tempoh berkenaan sudah banyak kejayaan dikecapi dan beliau akui puas membawa pasukan negara dengan melakar pelbagai kejayaan.

sumber:- HM

Sepanjang tempoh dua tahun empat bulan itu, Pan-gon berjaya membawa skuad negara ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar Januari lalu selain menaikkan ranking negara dari kedudukan 154 ke 130.