Jumlah gaji besar yang diterima pemain dianggap bukan punca masalah tunggakan gaji terus bersarang dalam Liga Malaysia (Liga M).
Sebaliknya, pengurusan kelab yang harus dipersalahkan atau bertanggungjawab kerana didakwa tidak menguruskan pasukan mengikut kemampuan kantung mereka.
Bekas pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof menyifatkan pengurusan kelab sepatutnya memainkan peranan dalam menguruskan kewangan mereka dengan berbelanja mengikut kemampuan terutama dalam membentuk pasukan.
Malah, beliau berkata, pasukan lain tidak perlu terlalu terikut-ikut untuk menjadi seperti pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor yang memiliki kewangan kukuh.
“Apa yang saya lihat pengurusan patut memainkan peranan mengenai duit, tengok pada kantung sendiri. Namun, banyak pasukan yang ingin bersaing terutama dengan JDT dan Selangor.
“Mereka terpaksa melabur duit yang lebih untuk mencari pemain yang mereka fikir berkualiti, tapi dari segi perbelanjaan setiap bulan bergelut.
“Pasukan yang mencari duit atau dana, dan mereka juga perlu tahu bagaimana nak berbelanja. Kita jangan ikut pasukan yang ada kewangan kukuh, kita ikut kemampuan sendiri.
“Kadang-kadang pasukan yang tawarkan (gaji tinggi kepada pemain). Sepatutnya pengurusan lebih tahu menguruskan supaya tidak gagal untuk selesaikan benda yang sepatutnya setiap bulan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Semalam, BH Sukan melaporkan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menganggarkan pasukan Liga M perlu berbelanja antara RM500,000 hingga RM1.3 juta sebulan untuk pembayaran gaji.
Selain itu, Nizaruddin mencadangkan perkara lebih baik buat pasukan Liga M yang kurang berkemampuan adalah menggunakan pemain muda dengan bayaran gaji tidak terlalu tinggi.
“Saya berasa setiap kelab perlu lebih banyak cari pemain muda yang mereka boleh bayar tidak terlalu tinggi dan membentuk skuad bersama pemain import berkualiti.
sumber:- BH
“Lebih sesuai ramaikan pemain muda sebab kita bukan tiada bakat muda, cuma mereka tidak diberi peluang yang sepatutnya untuk bermain dalam Liga Super,” katanya.