Penyerang England, Harry Kane dan pemain Sepanyol, Dani Olmo antara enam pemain yang berkongsi anugerah Kasut Emas Euro 2024 selepas masing-masing merekodkan tiga gol sepanjang kejohanan kali ini.
Cody Gakpo (Belanda), Georges Mikautadze (Georgia), Jamal Musiala (Jerman) dan Ivan Schranz (Slovakia) turut berada dalam senarai pemenang Kasut Emas.
Kane dan Olmo berpeluang untuk mengatasi pencabar mereka itu apabila beraksi di final Euro 2024, awal pagi tadi tetapi kedua-duanya gagal menjaringkan gol dalam perlawanan yang menyaksikan Sepanyol mengatasi England 2-1.
Minggu lalu, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengesahkan mereka akan berkongsi Kasut Emas Euro 2024 antara enam pemain jika aksi final awal pagi tadi antara England dan Sepanyol gagal menghasilkan pemenang yang jelas bagi trofi itu.
Ia adalah perubahan polisi dilakukan penganjur yang mana sebelum ini anugerah itu diberikan kepada pemain yang merekodkan jumlah bantuan gol terbanyak sekiranya terdapat lebih daripada seorang pemain berkongsi jumlah jaringan yang sama.
Tiga gol adalah jumlah terendah bagi pemenang Kasut Emas sejak Euro 2012 apabila Fernando Torres (Sepanyol), Mario Gomez (Jerman) dan Alan Dzagoev (Russia) semuanya menamatkan kejohanan dengan tiga gol.
Kane adalah pemain England kedua yang memenangi anugerah itu selepas Alan Shearer bergelar penjaring terbanyak dengan lima gol pada Euro 1996.
Pemain berusia 30 tahun itu turut memenangi Kasut Emas selepas menjaringkan enam gol pada Piala Dunia 2018 di Russia.Penyerang Bayern Munich itu muncul pemain ketiga dalam sejarah yang memenangi Kasut Emas di kedua-dua kejohanan Euro dan Piala Dunia.
Valentin Ivanov (Russia) dan Drazan Jerkovic (Yugoslavia) berkongsi trofi bersama tiga pemain lain yang menjaringkan dua gol pada Euro pertama pada tahun 1960 sebelum berkongsi sekali lagi pada Piala Dunia 1962 bersama empat pemain yang menjaringkan empat gol sepanjang kejohanan di Chile.
Penyerang legenda Jerman, Gerd Muller memenangi anugerah itu secara mutlak di kedua-dua Euro dan Piala Dunia.
Dia menjaringkan 10 gol pada Piala Dunia 1970 di Mexico, dua tahun sebelum menjaringkan empat gol pada Euro 1972.
Kane, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya, membuka akaunnya pada kejohanan tahun ini ketika England seri 1-1 dengan Denmark sebelum meledak gol kemenangan menentang Slovakia di pusingan 16 terakhir.
Dia juga menyempurnakan penalti bagi menyamakan kedudukan ketika England menewaskan Belanda pada separuh akhir.
Olmo yang juga pemain tengah RB Leipzig menjaringkan gol buat Sepanyol dalam semua tiga perlawanan pusingan kalah mati sebelum aksi final, awal pagi tadi.
sumber:- BH
Schranz dan Musiala menjaringkan gol mereka pada peringkat kumpulan, manakala Gakpo menjaringkan satu daripada tiga golnya dalam kemenangan Belanda ke atas Romania di pusingan 16 terakhir. – AGENSI